Friday 20 November 2015

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU BAJU MELAYU


Assalamualaikum w.b.t,diruangan ini saya akan bercerita berkenaan baju Melayu. Baju Melayu merupakan salah satu pakaian yang popular dikalangan masyarakat Malaysia. Ia sudah sinonim dengan masyarakat Melayu terutama ketika hari raya. Ia merupakan satu panggilan bagi baju tradisional yang biasa dipakai oleh golongan lelaki di Malaysia dan negara serantau.   

Bergaya dan menarik  Aaron Aziz dengan Baju Melayu

Baju Melayu biasanya dipakai terutama sekali untuk pergi bersembahyang,majlis formal, dan sebagai pakaian adat. Baju Melayu mempunyai dua jenis garisan leher iaitu potongan teluk belanga dan potongan cekak musang. 


Baju Melayu Teluk Belanga

Baju Melayu Teluk Belanga


Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru). Almarhum menetapkan supaya baju lelaki labuhnya sehingga kebawah punggung dengan leher yang berlapik lebar dan berkocek dua. Potongan Teluk Belanga pada bahagian lehernya hanya di jahit secara sulaman. Baju Melayu potongan Teluk Belangga cukup popular di kawasan selatan Malaysia. 


Kelihatan segak model mengayakan baju teluk belanga
Baju Melayu Teluk Belanga ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia sesuai untuk dipakai oleh segenap lapisan masyarakat. Baju Melayu ini bertambah unik terutama pada bahagian leher. Di bawah ini terdapat contoh leher baju teluk belanga.


Contoh Leher Baju Melayu Teluk Belanga

Selain bahagian leher, keunikan baju teluk  belanga asli Johor juga dapat dilihat menerusi jahitan di bahagian tepi yang dikenali dengan potongan pesak gantung. Nilai seni baju ini menjadi semakin tinggi apabila ia dijahit sepenuhnya menggunakan jahitan tangan dan bahagian leher teluk belanga yang masih mengekalkan jahitan tulang belut memberi keistimewaan terhadapnya lagi.  Baju teluk belanga kini mempunyai pelbagai pilihan, sama ada warna dan corak berlainan, tambah menarik jika ia dipadan bersama samping jenis tenunan atau benang, songkok tinggi dan capal untuk melengkapkan gaya. Selain itu, pelbagai warna dan corak menjadikan teluk belanga kini mengalami revolusi tersendiri apabila dijahit daripada beberapa jenis pilihan fabrik termasuk kain kapas, linen dan sutera untuk keselesaan sepanjang hari.



Baju Melayu Cekak Musang


Baju Melayu cekak musang
Istilah baju melayu cekak musang ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju tengkuk 'cekak' tinggi atau leher tegak. Baju ini merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut, potongan Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Pengertian 'cekak musang' merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Terdapat beberapa rekaan butang di leher baju iaitu seperti butang tiga, butang empat mahupun butang lima.


Kelihatan segak model mengayakan baju melayu cekak musang

Baju Melayu Cekak Musang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia sesuai untuk dipakai oleh segenap lapisan masyarakat dengan gaya tersendiri. Baju Melayu ini bertambah unik terutama pada bahagian leher. Di bawah ini terdapat contoh leher Baju Melayu Cekak Musang;


Contoh Leher Baju Cekak Musang
Baju Melayu Cekak Musang kebiasaanya mempunyai 5 butir butang atau kancing. Ada pendapat mengatakan ini di ambil sebagai lambang keharmonian rumah tangga, 2 butir butang di bahagian atas melambangkan ibu dan bapa dan 3 butir butang di bawahnya pula melambangkan anak-anak mereka. Potongan Cekak Musang terkenal di kawasan tengah utara Malaysia.





No comments:

Post a Comment