Saturday 5 December 2015

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT SABAH DAN SARAWAK.


Kadazan.



Pakaian istiadat masyarakat Kadazan dari Penampang. Lelaki akan memakai baju gaung, seluar souva, bengkung toogot dan pakaian kepala yang disebut siga. Perempuan akan memakai baju pendek sinuangga, kain labuh tetapi dan selendang batik dilengkapi tali pinggang himpogot.


Baju tradisional suku kaum Kadazan daerah Papar. Baju fabrik baldu hitam berhias renda kuning keemasan. Lelaki memakai pakaian kepala sigal dari kain destar dan wanita memakai siung dari anyaman buluh halus bermotifkan geometrik etnik Sabah. Perhiasan diri gelang tangan dan tali pinggang syiling perak.




                                                        Pakaian masyarakat Kadazan Sabah.


Murut.


Pakaian Adat suku kaum Murut. Lelaki memakai jaket barbaru dan cawat dari kulit kayu puputul yang dilukis dengan motif dari manik atau warna. Perhiasan kepalanya tupi sinulatan juga dari kulit kayu. Wanita menggayakan pakaian pinongkolo dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni. Perhiasan diri juga dari manik seperti rantai rarangkol dan hiasan kepala salupai. Orang Murut adalah sebuah kumpulan etnik pribumi yang mendiami wilayah utara pedalaman Kalimantan. Sebahagian besar masyarakat Murut adalah di pedalaman barat daya Sabah, Malaysia timur, khususnya daerah Keningau, Tenom dan Nabawan Pensiangan, sepanjang Sapulut dan Sungai Padas.

                                                     Pakaian tradisional kaum Murut.




Seterusnya,saya akan bercerita pula tentang masyarakat di Sarawak. Disarawak juga terdapat pelbagai kaum yang unik dan menarik pada pakaian tradisionalnya dan banyak lagi.



Orang Iban.



Orang Iban merupakan kaum yang paling utama di Sarawak. Pakaian Iban dipilih untuk dipakai bagi Ratu Pesta Menuai Sarawak. Bagi pakaian istiadat suku kaum Iban, lelaki akan memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik atau jaket tenunan motif Iban dan sirat atau cawat dari kain tenun kasar dan puncanya dihiasi tenunan bercorak. Mereka juga mengenakan ikat kepala dari kain tenun dan tali pinggang perak. Kepala memakai setapok tunjang dan bulu kenyalang. Wanita memakai bidang berhias syiling dan loceng serta selampai dan marek empang. Perhiasan diri dari perak seperti ringgit gobeng, gelang kelunchong dan sugu tinggi. Wanita juga memakai skirt atau bidang tenun Pua. Bahagian atas memakai baju kecil atau kemban dan dilindungi dengan marek empang dari manik. Hiasan diri sarat barangan perak seperti tali pinggang, rawai dan sudu tinggi






                                                 Pakaian tradisional Orang Iban.




Bidayuh.



Pakaian lelaki Bidayuh baju dan seluar dari satin dihiasi pita merah dan putih. Bahagian luar memakai jipo Boyuh dari kulit kayu dan kalung gigi beruang. Wanita Bidayuh menggayakan baju jipo pendek dan skirt bidang fabrik satin rona hitam berhias selempang merah perhiasan pinggang daripada syiling perak. Perhiasan kepalanya ialah sipiah dari tiga warna hitam, merah dan putih berhias manik, labuci dan syiling perak.





                                             Pakaian tradisional Orang Bidayuh.




Haa... bagaimana  kawan-kawan.  dah jelas mengenai pakaian tradisional masyarakat Sabah dan Sarawak? Setakat ini sahajalah coretan saya untuk kali ini. Semoga kita bertemu lagi pada penulisan akan datang.


Thursday 26 November 2015

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU BAJU KURUNG

Pakaian orang Melayu kini lahir daripada pertumbuhan dan perkembangan pakaian orang dahulukala melalui proses ubah ansur. Proses ini bukan sahaja berlaku akibat peradaban awal masyarakat ditempat itu sendiri, malahan yang lebih penting akibat daripada pengaruh daripada pedangan China ,India, Arab, dan Eropah. Unsur-unsur tamadun dari timur dan barat ini diolah dan digabungkan menjadi satu budaya yang beraneka rupa serta indah dan unik. Pakaian wanita yang masih popular hingga kini antaranya ialah baju kurung.

Baju kurung lazimnya diketahui sebagai sejenis baju longgar yang labuh, kadangkala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Ianya meliputi seluruh tubuh, memperlihatkan wajah dan tangan sahaja. Ia juga dilihat sebagai mematuhi peraturan berpakaian Islam. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Kebiasaannya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala.




Cara ini menepati konsep pakaian cara melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘baju kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri yang tersendiri. Baju kurung juga sesuai untuk dipakai dalam majlis-majlis formal atau urusan rasmi. Baju kurung juga terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah kurung Riau, kurung Pahang, kurung Teluk Belanga dan kurung moden.

PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT CINA BAJU SAMFOO


            Samfoo membawa maksud ‘baju dan seluar’ dalam dialek Kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita keturunan cina selain dari ‘cheongsam’. Samfoo ini digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di lading, lombong atau rumah. Samfoo ini diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus. Samfoo turut dipakai oleh lelaki berketurunan cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo wanita cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju melayu. Samfoo ini biasanya diperbuat daripada kain sutera. Namun begitu, pakaian tradisional ini jarang sekali dipakai oleh lelaki berketurunan cina di Malaysia.